Tuesday 15 November 2011

Tips Belajar Sewaktu Cuti Sekolah


Cuti sekolah tiba lagi!!

Cikgu pasti murid-murid merupakan orang pertama yang bersorak riang kerana mereka akan bercuti panjang selama sebulan.

Justeru itu,cikgu ingin kongsikan bersama anda semua beberapa tip belajar semasa cuti sekolah agar anda tidak menghabiskan masa cuti dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan bermanfaat.

Tips ini sangat berguna kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting pada tahun hadapan seperti UPSR sebagai persediaan awal sebelum masuknya sesi baru persekolahan.

Terdapat beberapa tip yang boleh anda amalkan semasa cuti sekolah ini. Antaranya ialah :

1. Siapkan Semua Kerja Sekolah Yang Diberikan Oleh Guru
Sebelum murid-murid semua bercuti, guru-guru telah memberi kerja sekolah untuk disiapkan pada waktu cuti ini. Oleh itu, jangan tangguh lagi!!! Jika tidak mampu menyiapkannya sekali gus dalam masa yang singkat, buatlah kerja itu sedikit demi sedikit sepanjang minggu pertama cuti sekolah. Anda semua boleh membuat jadual waktu belajar agar anda semua dapat membahagikan masa dengan baik.

2. Membuat Ulangkaji Secara Berterusan
Murid-murid boleh membuat ulangkaji dalam jangka masa yang singkat, tetapi kerap dan berterusan. Contohnya pada musim cuti ini anda buat latihan Matematik selama 30 minit dan ulangkaji atau buat latihan Sains selama satu jam setiap pagi.

3. Menyemak Nota
Jangan lupa untuk menyemak nota-nota anda setiap hari. Jika terdapat nota yang tidak lengkap, anda harus kemaskini dengan segera. Anda juga boleh merujuk kepada nota-nota kawan yang telah lengkap atau merujuk kepada buku rujukan. Apabila nota anda sudah lengkap, ini memudahkan anda untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan pada tahun hadapan.

4. Menjawab Soalan Berformat UPSR
Gunakan kesempatan pada musim cuti ini dengan membiasakan diri anda dengan menjawab soalan-soalan yang berformat UPSR. Banyakkan menjawab set soalan berformat peperiksaan tersebut. Antara set soalan yang boleh anda jawab ialah koleksi soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas.

5. Membaca Bahan Bacaan Tambahan
Anda boleh menggunakan masa terluang semasa cuti sekolah ini dengan membaca bahan-bahan bacaan tambahan yang berbentuk ilmiah. Antaranya ialah majalah, surat khabar, buku-buku berbentuk motivasi dan sebagainya.
Cikgu berharap agar semua murid menggunakan masa cuti sekolah ini sebaik mungkin. Jangan membazirkan masa anda dengan melepak, berkunjung ke cyber cafe dan sebagainya. Gunakan masa itu untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat kepada diri anda. Semoga anda berjaya pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment